Malaysia perlu masa teliti cadangan visa bersama 6 negara ASEAN
BANGKOK - [DIKEMAS KINI] Malaysia memerlukan lebih masa untuk meneliti cadangan Thailand mengenai program visa bersama dengan enam negara ASEAN lain untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke rantau ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan itu masih di peringkat awal perbincangan dan Malaysia perlu mendapatkan lebih maklumat mengenainya.
Beliau berkata, Thailand ingin mendapatkan peluang yang bakal hadir daripada gabungan enam negara ASEAN yang mempunyai potensi dalam pelancongan dan ekonomi.
"Tapi Malaysia sentiasa mencari keseimbangan dari aspek potensi ekonomi dan kepentingan mempertahankan isu keselamatan negara," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin sebelum ini mencadangkan inisiatif visa jenis 'Schengen' atau bersama dengan Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar dan Vietnam bagi merancakkan lagi industri pelancongan di keenam-enam negara itu yang menerima ketibaan pelancong asing berjumlah 70 juta orang pada tahun 2023.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, pihaknya sedang membuat beberapa cadangan kepada China supaya memanjangkan visa pelancong bagi rakyat Malaysia kepada 30 hari daripada 15 hari sekarang.
Katanya, cadangan itu akan diusulkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terlebih dahulu untuk persetujuan.
Sejak 1 Disember lepas, Malaysia telah melaksanakan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat China, manakala Kerajaan China juga telah memberi pengeculian visa selama 15 hari untuk pengembara Malaysia. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!