Warga emas maut terbabas sendiri
REMBAU - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sendiri dalam kejadian di Kilometer 39.8, Jalan Seremban-Tampin, Kota, di sini pada pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden, Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Tan Ah Kau@Tan Kim Teck, 79, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan di bahagian kepala.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda dalam perjalanan dari arah Seremban menuju ke Tampin.
"Bagaimanapun, sebaik sampai di tempat kejadian, motosikal telah hilang kawalan lalu terbabas sendiri di sebelah kiri jalan," katanya pada Ahad.
Berikutan itu, katanya penunggang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat telah dihantar ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat.
"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!