Rugi lebih RM200,000 kebun harum manis terbakar
SETIU - Seorang peniaga terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000 selepas kira-kira 350 pokok mangga harum manis diusahakan di atas tanah seluas 4.5 hektar musnah sekelip mata dalam kebakaran yang berlaku pada minggu lalu.
Tengku Mohammad Kamal Hishamudin, 29, berkata, dia mengetahui kebun miliknya itu terbakar selepas dihubungi oleh seorang pekerjanya.
Menurutnya, pokok harum manis yang ditanam itu dianggarkan berusia tiga tahun dan telah mula belajar berbunga untuk kali pertama.
"Saya rasa terkilan juga sebab hasrat nak lihat pokok ini berbuah tak kesampaian. Semua pokok yang ditanam habis musnah dan tak ada yang sempat diselamatkan.
"Kalau ikutkan, hasil daripada pokok-pokok ini dijangka akan dapat dituai pada Mei tahun hadapan," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, kali terakhir di ke kebun itu pada penghujung Ramadan lalu dan tidak menyangka ia merupakan pengalaman terkahir melihat pokok-pokok itu membesar sebelum ia musnah dijilat api.
"Kali terakhir saya datang ke kebun adalah pada akhir Ramadan lalu dan ketika kejadian kebakaran tu kebetulan saya berada di rumah di Kuala Terengganu," ujarnya.
Tengku Mohammad Kamal berkata, kebakaran itu turut memusnahkan sistem paip saliran tanaman dan mesin pam air di kebun berkenaan.
"Kita percaya kebakaran ini berlaku disebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering sehingga api merebak dengan cepat ke kawasan kebun ini
"Sebelum ini kebun ini juga pernah ditenggelami air dalam kejadian bencana banjir," katanya.
Tengku Mohammad Kamal memberitahu meskipun masih terkejut dengan kejadian itu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk kembali bangkit bagi meneroka potensi dalam bidang pertanian.
"Ini merupakan kali pertama saya menceburi bidang pertanian malangnya tak sempat merasa hasilnya sebab saya terlebih dahulu diuji dengan kebakaran kebun yang baru diusahakan.
"Meskipun ia dilihat agak sukar, namun bagi mewujudkan impian untuk memiliki kebun mangga harum manis yang jarang-jarang diusahakan oleh pekebun di Terengganu ini, saya perlu memulakan kembali tanaman ini bermula daripada bawah," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!