Pusat hiburan diserbu, 15 GRO bersama pengurus ditahan
KUALA LUMPUR - Seorang pengurus pusat hiburan serta 15 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Raja Chulan di sini pada Sabtu.
Serbuan menerusi Ops Noda itu dijalankan kira-kira jam 12.30 malam oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ IPD Dang Wangi dan D6C JSJ Bukit Aman.
Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi memfokuskan mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
"Hasil pemeriksaan dan serbuan telah berjaya membuat tangkapan seramai 16 individu yang melanggar pelbagai kesalahan.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan berumur 32 tahun dan 15 wanita warga asing dipercayai bekerja sebagai GRO berumur antara 23 hingga 38 tahun," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, siasatan mendapati premis hiburan berkenaan mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai telah beroperasi lebih kurang sebulan.
"Kesemua mereka yang ditahan kini disiasat untuk tindakan selanjutnya.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!