Empat nelayan Myanmar tangkap ikan secara haram diberkas
KUALA SELANGOR - Tindakan empat nelayan warga Myanmar menangkap ikan secara haram terbongkar apabila bot dinaiki mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dekat Sekinchan di sini pada Sabtu.
Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Kepten Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dijalankan menerusi rondaan Kapal Maritim Bagan Datuk kira-kira jam 12.15 tengah hari.
"Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh tekong dan tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 22 hingga 36 tahun.
"Kesemua suspek ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk bekerja di atas bot berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Katanya, turut ditemukan ketika pemeriksaan adalah ikan campur dianggarkan seberat 50 kilogram.
"Bot serta barangan rampasan kemudiannya diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!