Kerajaan tak pernah buat keputusan singgung peranan raja - PM

Anwar menyampaikan amanat pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. Foto Bernama
Anwar menyampaikan amanat pada Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu dalam sesuatu isu termasuk permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan tahanan di rumah.

Beliau berkata, perbincangan mengenai hal berkenaan melibatkan dua pihak iaitu Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dan YDPA.

“Pendirian kita (kerajaan) itu tuntas bahawa keputusan mesti dibuat dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan itu keputusan muktamad. YDPA (turut terlibat) dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Saya kata sejak merdeka sehingga sekarang belum ada tindakan kerajaan yang menyinggung peranan dan kuasa Raja-Raja melayu dan itu yang kita pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen 25 Tahun Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menafikan bahawa afidavit yang dikemukan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan cubaan kerajaan untuk mengurangkan keputusan yang telah ditetapkan oleh mahkamah terhadap Najib.

Katanya, badan kehakiman kini turut dikenali sebagai sebuah entiti yang bebas dan masih belum ada mana-mana kes memerlukan beliau memanggil ketua hakim untuk berunding menyelesaikan masalah.

“Ada teguran-teguran termasuk kes afidavit Timbalan Perdana Menteri baru-baru ini. Saya turut diserang, saya tidak faham apa masalahnya.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak cuba untuk meringankan apa-apa keputusan yang dibuat oleh hakim,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan YDPA ke-16.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri terbabit menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Susulan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO memfailkan afidavit selaku 'saksi kritikal' yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28