Presiden MIC beritahu nak tolong di KKB - Anwar
SHAH ALAM - Parti komponen BN iaitu MIC dijangka akan turun membantu calon dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) yang dijadual pada 11 Mei ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
“Presiden MIC hubungi saya kata dia akan tolong di (PRK) KKB.
"Beliau kata tak betul laporan tu (disiarkan media) yang menyatakan tak akan beri kerjasama,” katanya ketika ditemui selepas Konvensyen 25 Tahun PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Ahad.
Pada 17 April lalu, media melaporkan Vigneswaran memberi bayangan tidak akan turun berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas kerusi berkenaan tidak ditandingi calon BN dan MIC hanya akan berkempen dalam pilihan raya melibatkan calon BN sahaja.
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 April serta pengundian awal, 7 Mei.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!