Pekerja kilang beras maut digilis lori
SUNGAI PETANI - Seorang pekerja kilang beras maut digilis sebuah lori ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Gurun-Jeniang di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, Kong Swee Ling, 69, menunggang motosikal dari rumahnya di Gurun ke tempat kerjanya di sebuah kilang beras di Jalan Jeniang.
Menurutnya, mangsa dikatakan terlebih dahulu berhenti bersebelahan sebuah lori ketika lampu isyarat di Simpang Empat Batu 2 bertukar merah.
"Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lampu isyarat bertukar hijau ketika kedua-dua buah kenderaan memulakan perjalanan.
"Motosikal mangsa yang berada di titik buta sebelah kiri kemudian dipercayai bergesel dengan lori terbabit," katanya.
Beliau berkata, akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal dipercayai terjatuh dan kepalanya digilis tayar belakang lori terbabit.
Wan Azharuddin berkata, penunggang motosikal yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, mayat penunggang motosikal itu dibawa ke unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Pemandu lori berusia 46 tahun dari Pendang itu tidak cedera dan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!