PRK Kuala Kubu Baharu: Amanah susun strategi tawan pengundi Melayu
KUALA SELANGOR - Parti Amanah Negara (Amanah) akan menyusun strategi bagi menarik undi kaum Melayu yang dijangka meningkat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Pengarah Strategiknya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, segala perancangan dan strategi parti itu bagi menawan pengundi Melayu bagaimanapun tidak didedahkan kepada umum.
"Jentera Amanah sudah bersiap sedia untuk bersama-sama dengan jentera komponen Kerajaan Perpaduan lain bagi PRK ini," katanya pada Majlis Aidilfitri Parlimen Kuala Selangor pada Ahad.
Dr Dzulkefly memberitahu, PRK kali ini dilihat lebih memihak kepada calon Pakatan Harapan (PH).
"Kita tampil sebagai Kerajaan Perpaduan dan kelebihan kita bukan saja pada PH, namun kerjasama dengan Barisan Nasional (BN)," tambah beliau.
Sehubungan itu, katanya, semua jentera PH dan BN diingatkan bekerja keras bagi memenangi dan mempertahankan kerusi berkenaan.
"Apa yang penting siapa pun yang diberi kepercayaan menjadi calon, kita kena menggembeleng seluruh tenaga bagi memastikan kemenangannya.
"Itu amat mustahak dan kita izinkan pimpinan untuk menentukannya.
"Saya yakin kita mampu kekal berdasarkan trend dan prestasi kerajaan sedia ada terutama keharmonian kaum di negara ini," tambah beliau.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!