Pembantu akaun dakwa dicabul pegawai penguat kuasa sukarelawan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KEMAMAN - Seorang pembantu akaun membuat laporan polis selepas mendakwa dicabul kehormatan dan dicium pegawai penguat kuasa syariah sukarelawan di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kejadian itu berlaku di Pantai Teluk Mak Nik di sini kira-kira jam 7 petang pada Khamis lalu.

Menurutnya, mangsa wanita berusia 24 tahun itu pergi ke pantai tersebut bersama tunangnya sebelum didatangi suspek yang berusia 53 tahun ketika mereka berada di dalam kereta.

“Suspek meminta mangsa dan pasangan keluar dari kenderaan sebelum mematikan enjin dan merampas kunci kereta.

“Suspek juga dikatakan turut mengugut untuk membawa mereka ke pejabat agama dan meminta mereka menunjukkan kad pengenalan,” katanya di sini pada Ahad.

Hanyan berkata, mangsa yang mempercayai lelaki berkenaan daripada pejabat agama mengikut sahaja arahan yang diberikan kerana takut.

Katanya, lelaki tersebut kemudiannya mengarahkan tunang mangsa pulang berasingan dan memberitahu akan menghantar mangsa pulang ke rumah.

“Semasa dalam perjalanan menuju ke kereta lelaki itu, mangsa mendakwa suspek telah mencabulnya sebanyak dua kali. Suspek juga dikatakan membuat permintaan tidak senonoh namun mangsa menolaknya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

“Ketika tiba di rumah mangsa di Taman Perwaja, suspek sekali lagi membuat permintaan tidak senonoh malah dia sekali lagi mencabul mangsa,” katanya.

Berikutan itu, katanya, mangsa telah membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya.

Hanyan berkata, polis berjaya menangkap suspek dan direman selama empat hari sehingga Isnin bagi membantu siasatan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!