Sedih lihat prestasi pemain muda - Azlan

Skuad muda negara akan menentang Kuwait dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia B-23 di Doha pada Selasa. Foto FB FAM (Gambar kecil: Azlan)
Skuad muda negara akan menentang Kuwait dalam aksi terakhir Kumpulan D Piala Asia B-23 di Doha pada Selasa. Foto FB FAM (Gambar kecil: Azlan)
A
A
A

PRESTASI yang diperagakan skuad bawah 23 tahun (B-23) negara dalam saingan Piala Asia B-23 di Doha, Qatar setelah kalah aksi kedua 0-2 kepada Vietnam pada malam Sabtu amat menyedihkan.

Penganalisis sukan, Azlan Johar berkata, situasi itu amat membimbangkan dan menimbulkan persoalan sampai bila keadaan tersebut akan berlaku.

Malah beliau melihat persiapan yang tidak mencukupi menjadi antara punca skuad bimbingan Juan Torres Garrido gagal mempamerkan aksi yang menggerunkan di pentas Asia.

“Saya nampak skuad ini kurang persiapan. Kecergasan dan persefahaman dalam kalangan pemain menjadi persoalan. Kita tengok Vietnam, ketika diserang, mereka turun beramai-ramai perkuatkan benteng.

“Sampai bila kita (skuad negara) nak jadi seperti ini. Sedih dengan keadaan ini, dari dulu nak kaji dan cari solusi, tetapi masih berulang. Ini kejohanan besar, persediaan perlu dibuat dengan teliti dan serius," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Skuad Harimau Muda yang tewas buat kali kedua setelah kecundang kepada Uzbekistan 0-2 boleh melupakan impian untuk pergi jauh di Doha, biarpun masih berbaki satu perlawanan menentang Kuwait pada Selasa.

Azlan yang juga bekas pemain kebangsaan enggan menyalahkan Garrido kerana dia cuma memiliki tempoh tiga bulan untuk mempersiapkan pasukan.

Justeru beliau berkata, semua pihak wajar bertanggungjawab dan mengambil serius untuk memperkasakan pemain muda serta menyediakan skuad yang mantap bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Artikel Berkaitan:

“Garrido baru mengambil alih pasukan sejak tiga bulan lalu selepas E Elavarasan meletak jawatan. Kita pun tak tahu punca 'coach' Ela letak jawatan. Apabila keadaan ini berlaku ia memberi kesan kepada pasukan.

“Ia juga jadi persoalan yang para peminat nak tahu. Perkara ini (persiapan pasukan ampuh) melibatkan persediaan organisasi yang besar dan ramai orang berpengalaman dalam itu.

“Tanya diri, apa yang kita buat dan dari situ kita boleh baiki kesilapan dan tidak mengulanginya pada masa depan," katanya.

Selepas dua kekalahan itu, skuad Harimau Muda menghuni tangga ketiga di depan Kuwait tanpa sebarang mata, manakala Uzbekistan mengungguli Kumpulan D berkongsi enam mata dengan Vietnam.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!