Sesi libat urus dengan para pemegang saham PLUS kurangkan tol

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah melaksanakan beberapa sesi libat urus dengan para pemegang saham PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi mengurangkan bebanan tol ke atas pengguna lebuh raya, kata Khazanah Nasional Bhd hari ini.

Dana kekayaan negara itu berkata, pihaknya telah memberikan nasihat dan pandangan kepada kerajaan berhubung cadangan penjualan PLUS.

“Kami telah memberikan nasihat dan pandangan kepada kerajaan serta terlibat dengannya untuk membantu dalam menentukan pertimbangan dasar ke arah mencapai matlamat," menurut Khazanah dalam kenyataan hari ini bagi menjelaskan laporan media mengenai PLUS semalam.

Khazanah berkata, kerajaan telah melaksanakan sesi libat urus dengan para pemegang saham PLUS dengan tujuan untuk mengurangkan bebanan tol ke atas pengguna lebuh raya, melegakan bebanan pampasan ke atas kerajaan serta mengambil kira nilai konsesi lebuh raya bagi pemegang kepentingan hutang dan ekuiti sedia ada.

“Khazanah ingin menegaskan sekali lagi bahawa sepanjang keseluruhan proses libat urus tersebut, kerajaan telah bertindak secara profesional dan memegang teguh kepada prinsip tadbir urus yang bersesuaian dalam usaha untuk mendapatkan penyelesaian terbaik bagi perkara ini,” katanya.

Khazanah berkata, pihaknya sedia maklum tentang beberapa tawaran yang tidak dijangka terhadap pengambilalihan PLUS, bagaimanapun, pihak-pihak yang berminat itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan khazanah.

Khazanah memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS menerusi anak syarikatnya UEM Group Bhd, manakala baki 49 peratus dimiliki oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut laporan media, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Kabinet akan berbincang mengenai cadangan pengambilalihan PLUS dan empat lebuh raya milik Gamuda Bhd di lembah Klang pada mesyuarat hari ini dengan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat selepas mesyuarat Kabinet. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!