Bukan melaram, tapi talian hayat bila sesak

Difahamkan kemungkinan harganya mencecah RM500 satu gram hujung tahun ini. Gambar hiasan.
Difahamkan kemungkinan harganya mencecah RM500 satu gram hujung tahun ini. Gambar hiasan.
A
A
A

BAGI sesetengah wanita, Hari Raya Aidilfitri bukan hanya teruja menggayakan pakaian baharu, tapi inilah masanya melaram koleksi barang kemas.

Bukannya selalu, apabila hari raya dan majlis kenduri, bolehlah melaram, lagi-lagi berpeluang menggayakan rekaan terkini kegilaan ramai, contohnya cincin Adira.

Jika dahulu, mengenakan barangan kemas menjadi simbol status atau kedudukan seseorang dalam masyarakat sama ada golongan bangsawan atau marhaen, kini ia melambangkan celik pelaburan dan kewangan.

Penulis tertarik dengan iklan raya Prego, Siapa Makan Pasta Dania? disiarkan pada 2019 yang masih diulang tayang di media sosial.

Adegan singsing lengan baju dalam iklan raya bertema komedi dilakonkan Datin Marlia Musa dan Dee Alhadi sambil menayang gelang emas siapa paling banyak semasa menyiapkan juadah raya sedikit sebanyak memaparkan realiti wanita negara ini yang gila emas.

Ibarat serampang dua mata, sebenarnya golongan wanita membeli emas bukan semata-mata nak melaram, namun misi utama sebagai simpanan, pelaburan dan tali hayat jika sesak.

Justeru, janganlah cepat menghukum dengan mengatakan membeli dan melaram emas itu mahu berlumba-lumba tayang kemewahan kepada orang lain.

Di sisi lain, lihatlah secara positif bagaimana mereka mampu menabung memiliki logam berharga itu.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, berpada-padalah melaram barang kemas, bimbang menjadi sasaran penjenayah pula.

Jika terdesak, emas itulah jaminan dan cagaran kerana ia adalah aset mudah cair yang boleh digadaikan pada bila-bila masa sahaja. Apatah lagi kini, harganya semakin ‘meroket’.

Awal Januari lalu, penulis menemani rakan membeli rantai leher emas 916 dengan harga sekitar RM306 segram termasuk upah. Namun, dalam tempoh empat bulan sahaja, harganya kini melonjak mencecah RM360 segram.

Difahamkan kemungkinan harganya mencecah RM500 satu gram hujung tahun ini.

Pada Selasa, CIMB Treasury and Markets Research dalam nota penyelidikan memaklumkan, harga emas global naik melepasi paras tertinggi baharu iaitu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram susulan laporan awal membabitkan serangan Iran ke atas Israel pada hujung minggu lalu.

Walaupun harga emas makin naik, namun tinjauan Sinar Harian minggu lepas mendapati kedai emas masih dipenuhi pelanggan. Ada yang mengambil keputusan menjual, ada juga membeli emas baharu malah ada juga menukar emas sedia ada dengan reka bentuk baharu.

Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Adilah Azhari sebelum ini dilaporkan berkata, banyak kajian menunjukkan emas adalah instrumen yang menjadi pilihan pelabur di kala kegawatan ekonomi kerana dikira sebagai aset selamat dan kalis inflasi.

Namun, dalam keterujaan menambah simpanan emas, berhati-hatilah perangkap emas murah ‘pajak gadai’ yang masih berleluasa di media sosial menanti mangsa. Mana mungkin emas 916 seberat 14 gram dijual pada harga RM320 sedangkan nilai pasarannya lebih RM4,000.

Sindiket scammer yang sengaja mencetuskan perasaan tamak kepada pembeli dengan menjual emas pada harga tidak masuk akal untuk menjerat mangsa.

Baru-baru ini seorang wanita di Terengganu kerugian RM106,012 selepas terpedaya dengan penipuan yang menggunakan taktik pembelian emas dengan harga murah. Wanita berusia 29 tahun itu tertipu ketika cuba membeli dua utas gelang emas menerusi TikTok.

Dalam kes berasingan pula, seorang lelaki berusia 38 tahun rugi RM8,000 selepas terpedaya dengan taktik sama ketika cuba membeli dua utas gelang berharga RM3,000.

Berita-berita berkenaan penipuan emas disiarkan media, tidak kira penipuan pelaburan atau jual emas murah harus dijadikan iktibar agar tidak jadi mangsa.

Ingatlah formula asas, beli emas mesti dapat emas, bukanlah janji manis untung lipat ganda semata-mata.

Paling penting, musim harga emas naik mencanak, mana mungkin dijual murah.

*Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!