Bayi di Gaza diselamatkan dari rahim ibu yang syahid dalam serangan Israel
RAFAH - Seorang bayi perempuan selamat dibedah keluar dari rahim ibunya yang terbunuh bersama suami dan anak yang lain akibat serangan Israel di bandar Rafah di Gaza yang turut mengorban 19 lagi nyawa orang awam, kata pegawai kesihatan Palestin.
Menurut pegawai berkenaan, ibu bayi itu maut akibat serangan oleh tentera Israel di dua buah rumah termasuk 13 kanak-kanak daripada sebuah keluarga yang terbunuh di salah sebuah rumah berkenaan.
Doktor yang merawat bayi berkenaan, Mohammed Salama berkata, bayi perempuan seberat 1.4 kilogram itu dilahirkan melalui proses pembedahan C-section dan berada dalam keadaan stabil serta beransur pulih.
Ibu bayi perempuan itu, Sabreen Al-Sakani, telah hamil selama 30 minggu.
Bayi berkenaan kemudiannya diletakkan di dalam inkubator di sebuah hospital di Rafah bersama bayi lain, dengan perkataan 'Bayi syahid Sabreen Al-Sakani' ditulis pada pita di dadanya.
Anak perempuan kepada wanita yang terkorban dalam serangan berkenaan, Malak, mahu menamakan adiknya itu sebagai Rouh, yang bermaksud roh dalam bahasa Arab, kata bapa saudaranya, Rami Al-Sheikh.
"Gadis kecil bernama Malak gembira kerana adik perempuannya lahir ke dunia, namun dia turut terkorban dalam serangan Israel," katanya.
Menurut Muhammed Salama, bayi perempuan itu juga dijangka tinggal selama tiga hingga empat minggu di hospital berkenaan.
"Selepas itu, kita akan mempertimbangkan siapa ahli keluarga yang akan menjaganya, sama ada ibu saudara, bapa saudara atau datuk serta neneknya.
"Ini adalah tragedi yang amat mengerikan di Rafah, yang bukan lagi asing kepada kekejaman. Walaupun anak ini terselamat, dia dilahirkan sebagai anak yatim," katanya.
Menurut pegawai kesihatan Palestin, 13 kanak-kanak daripada satu keluarga yang terbunuh itu berada di rumah kedua yang musnah dalam serangan Israel iaitu rumah milik keluarga Abdel Aal.
Saqr Abdel Aal menyuarakan kesedihannya kerana semua ahli keluarganya meninggal dunia akibat serangan berkenaan.
"Semuanya adalah wanita dan kanak-kanak. Seluruh identiti saya telah dihapuskan, bersama isteri, anak-anak dan semua orang," katanya.
Sementara itu, Mohammad al-Behairi berkata, anak perempuan dan cucunya masih tertimbus di bawah runtuhan.
"Saya berasa sedih dan tertekan. Saya tidak mempunyai apa-apa lagi dalam hidup ini untuk ditangisi.
"Apakah perasaan yang akan kita miliki? Apabila anda kehilangan anak, orang tersayang, bagaimana perasaan anda?" soalnya. - Awani
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!