'Laporkan kes rasuah jika mahu negara ini berintegriti'

Masyarakat perlu cakna dengan melaporkan jenayah rasuah yang dilihat atau didengar. (Gambar kecil: Rosdi Amir)
Masyarakat perlu cakna dengan melaporkan jenayah rasuah yang dilihat atau didengar. (Gambar kecil: Rosdi Amir)
A
A
A

SHAH ALAM - Penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan secara bersepadu pada setiap bulan melibatkan semua agensi bagi menangani isu salah laku rasuah.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, undang-undang berkaitan rasuah sedia ada amat mencukupi namun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak boleh melaksanakannya bersendirian.

"SPRM perlu melipatgandakan inisiatif bagi mewujud dan membentuk kesepakatan dengan pelbagai pihak dalam usaha membasmi jenayah rasuah ini.

"Selain itu, masyarakat juga berperanan mengamalkan sikap cakna dengan melaporkan jenayah rasuah yang dilihat atau didengar jika inginkan negara ini berintegriti serta bebas rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, tambah Rosdi, sistem pelaporan rasuah yang efektif juga perlu dipertingkatkan untuk membolehkan individu melaporkan kesalahan tanpa takut akan pembalasan.

Jelas beliau, pelaksanaan National Anti-Corruption Strategy 2024-2029 (NACS) turut perlu disegerakan selaras dengan lanjutan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (NACP), penambahbaikan terhadap Integrity Pact telah dibuat agar ia seiring dengan piawaian antarabangsa.

"Sehubungan itu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) wajar mewajibkan semua syarikat dan entiti perniagaan di negara ini menandatangani Surat Akuan Syarikat dan Perniagaan bagi membasmi rasuah.

"Surat akuan tersebut sebagai persetujuan, sekiranya syarikat dan entiti perniagaan serta mana-mana individu disabitkan kesalahan rasuah, maka ia akan dibatalkan dan dibubarkan sekali gus dirampas segala aset," ujar Rosdi.

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!