Cuaca panas: Peniaga panik api cepat merebak depan rumah

Kawasan padang yang berumput kering mengakibatkan api merebak dengan cepat.
Kawasan padang yang berumput kering mengakibatkan api merebak dengan cepat.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang peniaga panik melihat api merebak dengan cepat di kawasan padang bola kira-kira 300 meter di hadapan kediamannya di Kampung Banggol Kulim, Rantau Panjang akibat cuaca panas terik.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi jam Khamis itu, Adrian Hakimi Mohd Don, 35, berkata, ketika itu dia sedang memantau pekerja membina rumahnya yang hanya beberapa meter dari padang terbabit.

Menurutnya, tidak sampai satu jam, asap semakin tebal dan api merebak dengan cepat menyebabkan kawasan kebakaran menjadi lebih luas di padang berkenaan.

"Pada mulanya api berada 300 meter dari rumah saya dan kemudian 'bergerak' dengan cepat sehingga beberapa meter dari rumah," katanya kepada Sinar Harian.

Adrian Hakimi memberitahu, penduduk terus menghubungi bomba dan api berjaya dipadamkan beberapa minit kemudian.

Bagaimanapun, dia tidak dapat mengenal pasti punca kebakaran tetapi sebelum itu terdengar bunyi letupan seperti bahan kimia aerosol dan kemudian keluar kepulan asap kecil.

"Ada penduduk mengesyaki api daripada puntung rokok yang menjadi punca kebakaran dengan keadaan cuaca panas terik ketika itu menyebabkan kepulan asap semakin tebal dan api merebak dengan cepat," katanya lagi.

Selepas keadaan tenang kira-kira jam 1.30 petang, Adrian Hakimi berkata, dia keluar untuk mengambil anaknya di sekolah tetapi beberapa minit kemudian jiran menghubunginya memaklumkan api merebak sehingga beberapa meter dari rumah.

Artikel Berkaitan:

"Terkejut dengan keadaan itu, saya terus bergegas pulang dan mendapati asap tebal di belakang rumah sehingga terasa bahangnya selain sukar bernafas," katanya.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana tindakan segera penduduk memadamkan kebakaran menyelamatkan rumahnya.

"Sentiasa berhati-hati dalam keadaan cuaca panas kerana kebakaran cepat merebak terutama mereka yang tinggal di kawasan rumput dan tanah kering," katanya.

Sementara itu, laman web Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan suhu antara 33 hingga 34 darjah celcius sepanjang minggu ini.

Lapan kawasan di Semenanjung itu ialah Hulu Perak, Perak; Besut, Terengganu; Pendang dan Baling, Kedah; Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah serta Pasir Mas, Kelantan diramalkan antara lokasi yang berada pada tahap satu.

Tahap berjaga-jaga bermaksud suhu maksimum harian berada pada 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!