Majikan bagi 10 hari ‘cuti sedih’ setahun
BEIJING - Sekiranya anda salah seorang pekerja di pasar raya Fat Dong Lai di China, anda layak mendapat 'cuti sedih' selama 10 hari dalam tempoh setahun.
Pengerusi Fat Dong Lai, Yu Dong Lai berkata, permohonan itu tidak boleh ditolak oleh pengurus, sambil menyifatkan setiap manusia mempunyai hari tertentu yang mana mereka berasa sedih.
“Apabila mereka mendapat 'cuti sedih' ini, mereka boleh berehat... tenangkan perasaan dan boleh berasa gembira apabila kembali bekerja.
“Ini bermakna mereka merasakan sokongan daripada syarikat dan merasai keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan,” katanya ketika mengumumkan berita baik itu baru-baru ini.
Dong Lai membuka kedai pertama pada tahun1995 dan sejak itu, ia berkembang menjadi 12 cawangan di wilayah Henan.
Rangkaian runcit itu digelar sebagai 'Haidilao' bagi industri pasar raya kerana perkhidmatan pelanggannya merangkumi penyelenggaraan beg tangan dan pemberian makanan kepada haiwan peliharaan.
'Haidilao' merujuk kepada rangkaian restoran hotpot terkenal yang menawarkan perkhidmatan rias kuku dan menggilap kasut kepada pelanggan di cawangannya.
Dalam pada itu, Dong Lai berkata, pekerjanya mempunyai kebebasan untuk merancang dan mengambil cuti berkenaan kerana mereka turut menikmati sehingga 40 hari cuti tahunan, selain lima hari penutupan ketika Tahun Baharu Cina.
Pekerja pasar raya itu bekerja selama tujuh jam sehari, lima kali seminggu, berbeza dengan budaya 996 yang diamalkan beberapa syarikat China yang mana kakitangan bekerja dari jam 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu.
Pekerja juga berhak mendapat sehingga 5,000 yuan (RM3,295) untuk kemurungan dialami di tempat kerja kerana dicaci atau diugut pelanggan, kata pengurusan rantaian pasar raya itu kepada media China pada 2023. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!