26 penjaja warga asing ditahan di tapak pasar malam
JOHOR BAHRU - Seramai 26 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu membabitkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, polis dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di tiga tapak pasar malam sekitar bandar raya ini.
Pengarah JIM Johor, Baharuddin Tahir berkata, operasi dilakukan sekitar jam 4.30 hingga 6 petang pada Rabu lalu susulan aduan orang awam.
Jelasnya, operasi bersepadu terbabit membabitkan tiga pasar malam di Taman Daya, Taman Desa Jaya dan Plentong.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki, enam wanita warga Indonesia dan dua lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita warga Kemboja berusia antara 21 hingga 58 tahun.
"Kesemua yang ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen iaitu salahguna Pas Lawatan Sosial," ujarnya.
Baharuddin berkata, sebanyak lima notis hadir ke pejabat dikeluarkan kepada beberapa individu dalam operasi berkenaan bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!