DBKL usir peniaga warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Seramai 15 penjaja haram warga asing diusir manakala barang jualan mereka disita dalam Operasi Tindakan Khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pasar Borong Kuala Lumpur.
DBKL memaklumkan, operasi tersebut dijalankan Jabatan Penguatkuasaan itu dijalankan di sekitar Jalan 1/3a, Jalan 6/3a dan Jalan Batu Hampar, Pusat Bandar Utara Selayang, di sini pada Sabtu.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan sekitar luar kompleks Pasar Borong Kuala Lumpur dilakukan membabitkan pemeriksaan terhadap premis perniagaan borong sayuran, buah-buahan, barangan am.
"Operasi juga dijalankan bagi memantau aktiviti penjajaan warga asing terutama dalam kalangan etnik Rohingya dari Myanmar," maklum DBKL dalam satu kenyataan di laman Facebook pada Ahad.
DBKL memaklumkan, 15 tindakan sita dan pindah barangan itu dikenakan ke atas warga asing terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dan tindakan diambil mengikut Undang-Undang Kecil 3 (UUK), Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016.
"Tujuh premis turut dikenakan tindakan notis kompaun membabitkan kesalahan halangan tempat awam, premis tiada lesen dan melantik pembantu tanpa kebenaran.
"Tindakan diambil mengikut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!