Penduduk dakwa nampak kelibat 'sang bedal' di sekitar jambatan angkat
KUALA TERENGGANU - Orang ramai diingatkan agar berwaspada susulan penularan video memaparkan kehadiran seekor buaya yang dilihat berenang di kawasan muara Sungai Terengganu berdekatan jambatan angkat dekat sini.
Terbaharu, satu hantaran video berdurasi 60 saat dikongsikan grup Kami Anak Terengganu di laman sosial Facebook pada malam Ahad.
Video berkenaan menunjukkan seekor buaya dipercayai buaya yang sama dijumpai di luar kawasan sekitar benteng pemecah ombak di Seberang Takir, Kuala Nerus pada pagi Ahad.
Berdasarkan perkongsian itu, buaya berkenaan dikatakan telah memasuki kawasan dalam benteng pemecah ombak menghala ke muka kuala sungai berkenaan.
Reptilia itu dilihat timbul di permukaan air selama beberapa saat sebelum tenggelam dan berenang di sekitar kawasan terbabit.
Pagi Ahad tular sebuah video di laman sosial Facebook yang dirakam sekitar jam 7.44 pagi Ahad oleh seorang individu yang memaparkan kemunculan 'sang bedal' itu di luar kawasan benteng pemecah ombak.
Video berdurasi 38 saat itu turut dimuat naik oleh pengguna Facebook 'Ayie Jer Anglers' atau Mohd Shah Amri Ismail, 34, selepas memperolehinya daripada aplikasi WhatsApp.
"Saya pun tak pasti siapa pemilik sebenar video itu, cuma yang pasti kemunculan buaya tersebut memang dirakam pagi tadi berdasarkan bukti dari jam tangan pemilik video berkenaan.
"Tujuan saya adalah untuk mengingatkan orang ramai terutama rakan pemancing agar lebih berhati-hati bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi di sini.
Kebanyakan pengguna media sosial itu menyuarakan kebimbangan mereka terhadap ancaman keselamatan memandangkan buaya itu masih belum ditangkap.
Mereka berharap agar buaya itu dapat segera ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu dan dilepaskan semula ke habitat asalnya yang lebih jauh dari manusia.
Sementara itu, seorang pengguna Facebook, Mohd Hakimi meninggalkan komen yang mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada terutama pada waktu malam dan pagi.
"Bahaya tu, ye (buaya) sesat, malam-malam dan pagi Subuh, buaya dok bira (tepi) batu dan tepi pantai, hati-hati saing sobat (sahabat) yang mencari rezeki di kawasan itu," tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Dan Zie pula melahirkan kerisauannya terhadap keselamatan orang ramai yang pergi mencandat sotong ketika ini.
"Bahaya kalu orang pergi candat sotong naik bot fiber," tulisnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
@sinarharianonline Orang ramai diingatkan agar berwaspada susulan penularan video memaparkan kehadiran seekor buaya yang dilihat berenang di kawasan muara Sungai Terengganu berdekatan jambatan angkat Kuala Terengganu. #fyp#SinarHarian#KualaTerengganu#Buaya#videoviralitiktok#JambatanAngkatKualaTerengganu original sound Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!