Bantuan kewangan penting kepada jemaah haji
SHAH ALAM - Bantuan kewangan bagi jemaah haji Malaysia adalah penting kerana langkah tersebut membolehkan individu yang memerlukan bantuan kewangan untuk menunaikan ibadah haji.
Pengamal Kewangan Islam, Umar Ikhwan Abdullah @ Sudin berkata, tanpa bantuan kewangan ramai individu tidak mampu untuk menunaikan haji atas faktor kewangan yang terhad.
"Bezanya dengan negara yang tiada bantuan kewangan, individu di negara tersebut perlu menanggung keseluruhan kos haji tanpa sebarang bantuan atau subsidi.
"Ini kerana Tabung Haji (TH) adalah satu-satunya badan di dunia yang memberikan bantuan haji kepada pendeposit," katanya kepada Sinar Harian.
Pada musim haji tahun ini, TH akan menanggung bantuan kewangan haji berjumlah RM350.1 juta.
Kerajaan Malaysia turut memperuntukkan sejumlah RM1,000 untuk setiap bakal haji kumpulan B40 sebagai tambahan kepada bayaran haji mereka.
Sementara itu, Umar Ikhwan menjelaskan, terdapat beberapa faktor utama yang mempengaruhi peningkatan kos haji pada tahun ini dan wujud kos secara langsung dan tidak langsung.
"Kos langsung antaranya termasuk peningkatan kos pengangkutan, penginapan, dan perbelanjaan tempatan di Makkah dan Madinah, termasuklah bayaran cukai yang dikenakan oleh pihak kerajaan Saudi," katanya.
Selain itu katanya, faktor ekonomi global dan pertukaran mata wang juga dapat mempengaruhi kos haji, menyebabkan kenaikan harga bagi beberapa perkhidmatan yang diperlukan semasa menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, mengulas mengenai kepentingan wujudnya kategori bantuan kewangan B40, M40, dan bayaran penuh untuk T20, beliau berkata langkah ini penting bagi memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang memerlukan dengan sewajarnya.
Menurutnya, golongan B40 dan M40 mungkin memerlukan bantuan kewangan tambahan untuk menunaikan haji, sementara golongan T20 dianggap mampu untuk membayar penuh tanpa memerlukan bantuan.
Ketika ditanya mengenai langkah yang perlu diambil bagi memastikan lebih ramai rakyat Malaysia layak untuk menunaikan haji, Umar Ikhwan berpendapat, usaha untuk menyimpan wang perlu dipupuk lebih awal.
"Usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai perancangan kewangan awal bagi menunaikan haji juga penting bagi membantu individu menyediakan diri secara kewangan untuk menunaikan ibadah tersebut," katanya.
Beliau berkata, untuk meringankan beban jemaah haji pada masa akan datang, cadangan kemudahan pembiayaan khusus untuk haji boleh dilaksanakan dengan kerjasama pihak perbankan Islam.
"Namun, kos atau caj yang dikenakan oleh perbankan Islam perlu berpatutan, dan tidak dikenakan kadar keuntungan yang tinggi.
"Selain itu juga, perlu lebih diterokai seperti produk-produk yang menggabungkan dengan takaful, wakaf dan lain-lain," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!