SUK Perak pangku jawatan Datuk Bandar Ipoh
Beberapa kekosongan YDP, pegawai daerah akan disi dalam masa terdekat
IPOH - Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak hari ini memutuskan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim memangku jawatan Datuk Bandar Ipoh.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Ahmad Suaidi akan memangku jawatan tersebut sehingga calon Datuk Bandar Ipoh yang baharu dikenalpasti dan dilantik secara rasmi.
Beliau berkata, sebenarnya Ahmad Suaidi memangku jawatan itu sejak dilantik sebagai SUK Perak, 18 Disember lalu tetapi hari ini mesyuarat Exco memutuskan secara rasmi perkara tersebut.
"Segala tugasan Datuk Bandar Ipoh akan dipangku oleh SUK Perak, maka tak ada isu kita tidak mempunyai Datuk Bandar Ipoh. Kita ada iaitu Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim.
"Ia menjadi kuasa negeri untuk melantik mana-mana individu dijadikan (pemangku) Datuk Bandar Ipoh. Sebenarnya, sebelum ini seorang menteri besar pernah memangku jawatan Datuk Bandar Ipoh. Hari ini kita putuskan secara bersama," katanya selepas program Wawancara Menteri Besar Perak bersama Radio dan Berita RTM mengenai pencapaian Kerajaan Negeri Perak sepanjang tahun 2019 di Konti Perak FM, di sini, hari ini.
Ahmad Suaidi sebelum ini dilantik sebagai SUK Perak yang baharu menggantikan Datuk Zainal Azman Abu Seman yang bertukar ke Putrajaya sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga sedang menyusun penempatan pegawai-pegawai di negeri ini bagi mengisi beberapa kekosongan jawatan terutama di dalam organisasi pihak berkuasa tempatan (PBT).
Katanya, kekosongan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) akan diisi dalam masa terdekat.
"SUK Perak akan aturkan (pengisian jawatan). Ada dua perubahan iaitu YDP MPT dan YDP MPTI yang kosong bukan kerana pertukaran tetapi persaraan.
"Begitu juga dengan Pegawai Daerah Manjung, akan ada pergerakan di kalangan YDP dan juga pegawai daerah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!