Bekas ahli majlis, isteri didakwa salah guna kuasa, kemuka tuntutan palsu

Mohamad Zahari (kiri), Lydia Irmawati
Mohamad Zahari (kiri), Lydia Irmawati
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas ahli majlis sebuah badan kerajaan di Terengganu dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dakwaan salah guna kuasa dan mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu mencecah RM20,000.

Tertuduh, Datuk Mohamad Zahari Harun, 64, dan isteri, Lydia Irmawati Mahmud, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Zahari yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) didakwa menggunakan jawatannya melantik Syarikat Amcare Agency sebagai Agen Kutipan Zakat pada Mesyuarat Jawatankuasa Zakat MAIDAM kali keempat pada 2019 di mana syarikat tersebut adalah milik isterinya sendiri.

Dengan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh berdepan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Sementara itu, Lydia Irmawati yang juga Pemilik Syarikat Amcare Agency berdepan lapan pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas dakwaan menipu tuntutan bayaran balik 2/8 bahagian (fakir & miskin)(wakalah) sedangkan tuntutan tersebut tidak pernah dibuat oleh pembayar zakat tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Disember 2020 sehingga Mac 2021 di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat MAIDAM.

Mengikut pertuduhan, jumlah tuntutan bayaran balik 2/8 bahagian (fakir & miskin) yang dituntut mencecah RM20,000 dan tuntutan tersebut dimasukkan ke dalam akaun syarikat miliknya.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjarakan tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Mahkamah kemudian memerintahkan Mohamad Zahari membayar jaminan sebanyak RM7,000 sementara isterinya diarah membayar jaminan sebanyak sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 20 Mei depan melalui aplikasi Zoom.

Selain itu, kedua-dua tertuduh juga dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan, serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan arahan lapor diri ke pejabat SPRM terdekat sebelum 7 hari bulan setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork dari Azharudin & Associates.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!