Taktik anggota JPJ menyamar penumpang kesan 89 kesalahan pemandu bas
![Penguat kuasa JPJ memeriksa dokumen pemandu bas. Foto ihsan JPJ](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2024/04/22/2622959.jpg)
SEREMBAN - Taktik penyamaran sebagai penumpang bas ekspres yang dilakukan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setiap kali musim perayaan berjaya mengesan kesalahan dilakukan pemandu bas.
Dalam Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang dilaksanakan dari 1 hingga 20 April lalu, sebanyak 89 kesalahan dikesan JPJ Negeri Sembilan hasil menaiki 42 bas yang menuju ke pelbagai destinasi di seluruh semenanjung.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, walaupun operasi secara penyamaran itu dilihat efektif mengesan kesalahan dilakukan pemandu bas, namun jumlah saman dikeluarkan masih tinggi.
"Salah satu kaedah yang kami gunakan dalam Ops HRA adalah petugas kami berpakaian preman dan menaiki 42 bas ke semua terminal bas utama seluruh semenanjung.
"Hasil operasi ini, kami mengeluarkan sebanyak 89 saman dengan tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi empat jam merekodkan saman paling tinggi dengan 22 kesalahan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, kesalahan lain dilakukan ialah lain-lain kelakuan pemandu (19), memandu di lorong berterusan (15), tidak selenggara buku log (14), mengambil dan menurun penumpang di tempat larangan (10) serta lain-lain kesalahan (9).
Ujarnya, pemeriksaan dan operasi yang dijalankan bagi memastikan pemandu bas memberi keutamaan kepada keselamatan penumpang sekali gus mematuhi peraturan dan undang-undang ditetapkan.
"Setiap kali kami melakukan operasi penyamaran ini, mesti ada saman yang dikeluarkan dan ini menunjukkan kesedaran pemandu masih rendah sedangkan kerajaan menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam.
"Pemilik syarikat bas ekspres memainkan peranan dalam memberikan kesedaran kepada pemandu mereka selain mengambil kakitangan yang tiada rekod kesalahan," katanya.
Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan, sebanyak 7,665 notis dikeluarkan sepanjang Ops Khas HRA.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!