Pekebun kelapa sawit didenda RM12,000 buat hantaran ancam Agong
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang pekebun kelapa sawit RM12,000, kerana membuat hantaran komunikasi bersifat mengancam terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) di laman Facebook miliknya, Ogos tahun lepas.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhkan hukuman itu ke atas Samsuri Ramli, 45, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Lelaki itu membayar denda tersebut.
Samsuri didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang mengancam sifatnya dalam bentuk gambar visual bertulis ‘PN BEST AMARAN ANAK MUDA KEPADA YDPA, TURUNKAN ANWAR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ATAU KAMI TURUNKAN AGONG!’, menggunakan laman profil Facebook ‘SamBanjar Perak’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain, pada 5.33 petang, 13 Ogos tahun lepas.
Hantaran itu kemudian dilihat di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 9 malam, hari yang sama.
Pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyn Nor Azmal memohon hukuman setimpal sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat untuk tidak mengambil ringan dalam menggunakan media sosial.
"Merujuk kepada pertuduhan yang dikenakan terhadap OKS adalah jelas bersifat ancaman kepada Yang di-Pertuan Agong. Tindakan OKS tidak melambangkan kesetiaan dan kehormatan kepada raja,” katanya.
Bagaimanapun, Samsuri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung empat anak masih bersekolah dan seorang isteri selain menjaga ibunya.
"Saya mengaku bersalah. Saya anak peneroka dan bekerja di Felda, saya tidak mempunyai pendapatan tetap. Mohon mahkamah pertimbangkan rayuan saya,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!