Ketidaktentuan komoditi, Nestle Malaysia jangka harga naik
KUALA LUMPUR - Nestle (Malaysia) Berhad menjangkakan sedikit kenaikan harga jualan pada satu atau dua produk keluarannya dalam tempoh beberapa bulan akan datang, impak daripada ketidaktentuan harga komoditi yang semakin meningkat, antaranya melibatkan koko dan kopi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, harga koko misalnya telah meningkat dua kali ganda buat tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, namun menegaskan tidak semua kenaikan kos akan dipindahkan kepada pengguna.
“Terdapat banyak ketidaktentuan di pasaran, kami sentiada berhati-hati ketika berbicara mengenai kenaikan harga kerana kami menyedari ia bakal memberi impak kepada kuasa beli keluarga di Malaysia.
“Tidak semua (kenaikan kos) akan dipindahkan kepada pengguna, tetapi mungkin ada sedikit kenaikan harga yang perlu kami ambil dalam satu atau dua produk dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“(Semakan) harga sentiasa menjadi langkah terakhir bagi kami selepas melihat segala tindakan lain yang boleh dibuat, terutamanya dalam meningkatkan kecekapan dan mengamalkan langkah penjimatan secara dalaman,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Peraduan Gaji Seumur Hidup di Menara KEN, TTDI di sini pada Isnin.
Mengulas mengenai sentimen pengguna tahun ini, Aranols menjelaskan terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi sentimen seperti inflasi dalam makanan yang dipacu terutamanya oleh situasi komoditi global.
“Semua ini akan memberikan impak, bukan hanya mengenai makanan namun sentimen pengguna adalah sedikit perlahan.
“Pada masa sama, kami akan terus menyediakan produk yang selamat, berkualiti dan memenuhi cita rasa pengguna berbanding pesaing,” ujarnya.
Mengenai dakwaan bahawa terdapat tahap gula tambahan yang tinggi dalam produk Nestle yang menyasarkan bayi di Asia, Afrika dan Amerika Latin oleh sebuah pertubuhan aktivis global, Aranols memberitahu di mana jua Nestle beroperasi, pihaknya sentiasa mematuhi undang-undang ketat yang ditetapkan badan antarabangsa dan tempatan, termasuk di negara ini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!