Nelayan jatuh bot ditemukan selamat, 16 jam terapung di laut
KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Seorang nelayan yang dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas di sini pada Ahad ditemukan selamat pada Isnin.
Mangsa, Mohd Nor Sharif Mat Nasir, 28, yang juga seorang pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Demit 1 ditemukan oleh nelayan pada kira-kira jam 10.30 pagi di perairan Geting, Tumpat.
Bapa kepada seorang anak itu dikatakan terapung selama 16 jam di laut tanpa sebarang bantuan peralatan dan cuba berenang untuk menyelamatkan diri.
Sebelum itu Mohd Nor Sharif dipercayai terjatuh ke dalam laut kira-kira jam 6.30 petang semasa sedang menarik pukat yang dipenuhi hasil tangkapan.
Ibu mangsa, Rosiah Zainalabdin, 46, meluahkan rasa syukur anak ketiga daripada lima beradik itu ditemukan selamat.
"Ketika ini Mohd Nor Sharif sedang menerima rawatan di HRPZII (Hospital Raja Perempuan Zainab II).
"Kami sama sekali tidak menyangka dia akan selamat. Bagaimanapun naluri seorang ibu mengatakan anak saya masih hidup.
"Alhamdulillah, kami sekeluarga sangat gembira melihat dia selamat dan sihat, cuma keletihan sahaja " katanya ketika dihubungi.
Sinar Harian melaporkan seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot di Pantai Mek Mas, Kampung Kedai Buloh di sini pada Ahad.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Penolong Penguasa Bomba Kanan I Che Mazlan Muhamad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 7.15 malam dan seramai tujuh anggota termasuk pegawai telah ke lokasi.
"Setiba di lokasi pihak kami mendapati sebuah bot telah terdampar di tepi pantai bersama barangan milik mangsa," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!