'Tidak mahu ganggu emosi anak-anak'

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

CYBERJAYA - "Demi menjaga emosi, belum lagi masa sesuai untuk bawa anak-anak bertemu papa mereka."

Demikian luah isteri pengawal peribadi yang cedera ditembak di balai ketibaan Teminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 April lalu.

Siti Noraida Hassan, 38, berkata, biarpun suaminya, Mohd Nur Hadith sudah mula sedar, namun ia bukan masa terbaik membawa anak-anak bertemu dengan bapa mereka.

"Saya akan ke hospital pada petang ini (Isnin) untuk melawat dan melihat keadaan terkini suami yang sudah sedar sejak semalam (Ahad).

"Pihak hospital sudah membenarkan anak-anak untuk melawat, tetapi saya tidak mahu bawa lagi supaya emosi mereka tidak terganggu.

"Terima kasih kepada semua atas doa dan ucapan baik yang diberikan kepada suami saya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini Mohd Nur selesai menjalani pembedahan usus di Hospital Cyberjaya pada Selasa.

Siti Noraida berkata, Mohd Nur sudah mula sedar pada Ahad dan dia sempat bertemu dengan suaminya pada petang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suami juga sudah tidak memakai alat bantuan pernafasan semasa pertemuan itu.

"Semalam (Ahad) dah buka alat bantuan pernafasan yang dipakai sebelum ini.

"Namun percakapan Along (suami) masih terhad. Ada percakapan yang dia ingat dan ada yang lupa.

"Mungkin sebab Along baru sedar dan masih belum kuat lagi. Apa-apa pun, alhamdulillah syukur," katanya.

Ditanya mengenai proses dialisis buah pinggang yang dilakukan ke atas Along sebelum ini, Siti Noraida berkata, ia tidak dilakukan pada petang semalam (Ahad).

Namun begitu menurutnya, dia tidak pasti jika perkara itu dilakukan pada waktu malam oleh pihak petugas Hospital Cyberjaya.

Dalam pada itu jelasnya, air kencing suami banyak dalam bekas takungan dan ia satu petanda sangat positif berdasarkan penjelasan pegawai perubatan.

"Buat masa sekarang, pihak hospital memberikan Along ubat tahan sakit untuk meringankan beban kesakitan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!