16 premis diarah henti operasi serta-merta
KLANG - Sebanyak 16 premis di tapak tanah rizab sekolah, Jalan Langat, Bandar Botanik di sini yang beroperasi tanpa kebenaran diarahkan menghentikan operasi serta-merta pada Rabu lalu.
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Norfiza Mahfiz berkata, tindakan itu susulan pelbagai aduan diterima antaranya penduduk tidak berpuas hati ekoran kerosakan jalan disebabkan kenderaan keluar masuk, sistem saliran dan gangguan bunyi bising.
Menurutnya, semua premis itu telah diarahkan memberhentikan pemajuan dan memulihkan semula tanah kepada keadaan asal.
"Kita dapati premis beroperasi tanpa Kebenaran Merancang (KM) daripada MBDK dan pemantauan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Operasi diketuai Timbalan Datuk Bandar MBDK, Mohd Zary Affendi Mohd Arif turut disertai jabatan-jabatan teknikal dalaman, pemimpin setempat, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Tenaga Nasional Berhad, Pengurusan Air Selangor dan Polis Klang Selatan.
Tegas beliau, MBDK memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan kepentingan awam di samping peraturan undang-undang yang diabaikan oleh pihak berkenaan sebelum memulakan sesuatu pemajuan.
Jelas beliau, MBDK telah mengeluarkan arahan selaras peruntukan di bawah Seksyen 101 (1) (v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran daripada Majlis.
"Kertas Siasatan bagi kesalahan di bawah Seksyen 70(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 telah didaftarkan di Mahkamah dan ditetapkan untuk sebutan pada 16 Mei depan," ujarnya.
Norfiza memberitahu, operasi seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa melibatkan operasi bersepadu jabatan dalaman dan agensi luar dalam memastikan semua pihak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!