Ibu pesilat negara maut nahas tiga kenderaan
MARAN - Ibu kepada pesilat negara, Mohd Takiyuddin Hamid maut selepas terlibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 90 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini pagi tadi.
Kemalangan berlaku kira- kira jam 11.30 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana, treler jenis Nissan dan lori jenis Toyota Dyna-Hiace.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman berkata, mangsa yang maut adalah penumpang kereta Proton Perdana, Radziyah Din, 70, dari Kampung Bak-Bak di sini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta Proton Persona dipandu Ahmad Shahir Hamid, 40, yang juga anak kepada Radziyah dalam perjalanan dari arah Temerloh menghala ke Maran.
"Apabila sampai di tempat kejadian dipercayai pemandu tersebut telah hilang kawalan, kemudian bergesel dengan sebuah treler dari arah bertentangan menyebabkan kereta itu terbabas dan memasuki ke laluan bertentangan.
"Kemudian datang lori dari arah Maran cuba membrek, namun terlanggar kereta yang berada di laluannya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat perlanggaran tersebut, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu Proton Perdana mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala.
"Pemandu treler berusia 36 tahun selamat manakala pemandu lori berusia 30 tahun dan kelindannya berusia 19 tahun mengalami kecederaan.
"Mayat telah dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan selanjutnya," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!