Pengumuman peruntukan dibuat sebelum penamaan calon - Shamsul Iskandar
ALOR GAJAH - Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin menegaskan peruntukan sebanyak RM5.21 juta bagi projek Hulu Selangor yang diumumkan menteri berkaitan dilakukan sebelum tarikh penamaan calon.
Beliau menafikan dan menolak dakwaan mengaitkan pengumuman itu sebagai amalan lama yang masih diteruskan oleh kerajaan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Bagaimanapun beliau berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa menghormati pandangan yang dikeluarkan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center).
"Yang dibangkitkan beberapa NGO, bagi pihak kita, kita hormati pandangan itu cuma kita pun sedia maklum pilihan raya ini bermula secara rasminya apabila penamaan calon.
"Kalau masa itu nak dikaitkan secara langsung dengan pilihan raya mungkin ada asasnya, namun tidak munasabah apabila perkara berkaitan peruntukan itu dibangkitkan sebelum tarikh pengumuman calon secara rasmi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kecemasan Perdana Menteri kepada 13 mangsa banjir di Durian Tunggal di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, Zahari Abd Kalil dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Melaka, Megat Azlani Megat Ramli.
Tambahnya, beliau yakin dan percaya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mempunyai perancangan sendiri dan peruntukan itu bukanlah hanya diberikan pada musim pilihan raya.
"Kadang-kadang ada program yang diberikan keutamaan oleh mana-mana kementerian pada hemat kita, dan itulah amalan sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin negara," katanya lagi.
Media sebelum ini melaporkan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyelar tindakan pengumuman penyaluran peruntukan RM5.21 juta oleh KPKT kepada penduduk di daerah Hulu Selangor menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang disifatkan melanggar garis panduan mengenai pilihan raya yang bersih.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Bersih, tindakan tersebut boleh dianggap sebagai usaha membeli undi dan menggunakan pengaruh tidak wajar terhadap masyarakat di kawasan itu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!