Kanak-kanak enam tahun lemas di sungai
GUA MUSANG - Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Galas, berhampiran rumahnya di Jalan Merak, Kampung Lembaga, petang tadi.
Mangsa, Raja Ahmad Arif Raja Saiful Bahri, 6, disahkan meninggal dunia selepas ditemui pasukan penyelamat di dasar sungai.
Ketua Balai Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Arifuddin Akif Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 5.50 petang.
Katanya, operasi mencari dan menyelamat terus dilakukan dengan kekuatan 12 anggota.
"Proses pencarian mangsa menggunakan teknik 'open searching' dan menemui mangsa berada di dasar sungai.
"Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin, mengesahkan kejadian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!