Piala Thomas: Ganjaran BAM bakar semangat pemain

Wooi Yik ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia yang bertanding ke Kejohanan Piala Thomas dan Uber 2024 di Petronas Akedemi Malaysia hari ini. Foto Bernama
Wooi Yik ketika sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Malaysia yang bertanding ke Kejohanan Piala Thomas dan Uber 2024 di Petronas Akedemi Malaysia hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GANJARAN lumayan dijanjikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada atlet yang bakal menggalas cabaran negara ke Piala Thomas 2024 menjadi pembakar semangat dan motivasi untuk meraih kejayaan sensasi di Chengdu, China, kata ketua pasukan negara, Soh Wooi Yik.

Wooi Yik yang bergandingan dengan Aaron Chia bagaimanapun berkata, kejayaan itu hanya mampu dicapai sekiranya mereka sepakat untuk mempamerkan ‘magis’ bersama rakan-rakan lain dalam kejohanan berpasukan tersebut.

"(Ganjaran?) Memang membakar dan tambah motivasi. (Saya sudah tengok) Piala Thomas sejak kecil dan ini permainan berkumpulan bukan sendiri (jadi) kena menang baru dapat ganjaran.

"Ikatan (antara pemain) mesti bagus dan saling tolong-menolong sebab bukan selalu (kejohanan ini). Saya fokus kepada permainan dan tidak fikir banyak sangat pasal ganjaran,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bendera kepada skuad Piala Thomas dan Uber negara di sini, hari ini.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, menjadi tanggungjawabnya bersama Aaron serta pemain perseorangan Lee Zii Jia sebagai pemain senior untuk berkongsi kepakaran mereka dengan pemain junior yang akan membuat penampilan sulung dalam kejohanan berkenaan.

"Kita pergi sebagai satu pasukan dan saling membantu sebab anggota pasukan bukan sahaja saya, ada Aaron dan Zii Jia membantu menyelesaikan masalah sebab ada junior jarang berhubung dengan mereka sekarang lebih rapat jadi harap (dapat) pamerkan semangat baik di Piala Thomas,” katanya.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria terdahulu memaklumkan BAM ketika ini berada dalam keadaan selesa untuk memberi insentif lumayan kepada pemain sekiranya skuad negara berjaya mencapai kejayaan di kejohanan berprestij itu.

Sementara itu, Wooi Yik mengakui pasukan negara mempunyai peluang seimbang berdepan Hong Kong pada aksi sulung dan beregu lelaki diharap mampu mencuri mata untuk memastikan kemenangan pada pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

Bagi ketua skuad Piala Uber negara Teoh Mei Xing, 27, beliau mahu rakan sepasukan menghargai peluang beraksi di kejohanan tersebut dengan memberikan persembahan terbaik mereka.

BAM menyenaraikan Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Cheam June Wei, Justin Hoh, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian bagi membawa cabaran negara ke Piala Thomas 2024, yang diundi dalam Kumpulan D bersama jaguh Eropah yang juga juara 2016 Denmark, Hong Kong dan Algeria.

Bagi saingan Piala Uber 2024, skuad negara terdiri daripada Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi, Go Pei Kee, Tan Zhing Yi, Ho Le Ee dan Chan Wen Tse, bakal berdepan tugas berat apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Taiwan dan Australia.

Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung pada 27 April hingga 5 Mei ini. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!