Sukarelawan penguat kuasa syariah didakwa cabul gadis

Tertuduh (dua dari kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, pada Isnin.
Tertuduh (dua dari kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kemaman, pada Isnin.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang sukarelawan pegawai penguat kuasa syariah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin atas dakwaan mencabul kehormatan seorang gadis dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Tertuduh, Shahar Rudin Abd Rashid, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin.

Mengikut pertuduhan, Shahar Rudin didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 25 tahun itu dengan cara memeluk bahagian pinggang bagi maksud mencabul kehormatannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan jam 7 petang di Pantai Teluk Mak Nik, di sini.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 oleh seorang penjamin dan menetapkan tarikh 20 Mei depan sebagai sebutan semula kes itu.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan untuk tidak mendekati dan mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Artikel Berkaitan:

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman sementara tertuduh diwakili peguam Ahmad Ahnaf Zaimi.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan lelaki berkenaan ditahan reman selepas seorang pembantu akaun membuat laporan mendakwa dicabul kehormatan oleh individu terbabit.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!