28,808 unit RKAT seluruh negara diselenggara tahun ini - Mohamed Khaled
KUALA KUBU BAHARU - Sebanyak 28,808 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) diselenggara menerusi peruntukan RM400 juta yang disalurkan kerajaan pada tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah berkenaan melibatkan rumah di 48 kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seluruh negara.
"Pada tahun ini semua rumah yang didiami anggota akan dibaiki di seluruh negara, jadi tiada lagi mereka (anggota) terganggu (apabila bertugas) seperti bumbung bocor, mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
"Jadi sekarang ini kerajaan ambil alih dan pastikan ia (masalah) tidak berlaku serta kita dapat meningkatkan keselesaan anggota," katanya pada sidang media selepas melawat rumah RKAT di Taman Seruling di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata, beliau terus memantau kerja penyelenggaraan dan proses baik pulih rumah RKAT dengan mengadakan lawatan di semua kem ATM di seluruh negara bagi memastikan kerja penyelenggaraan dan baik pulih terbabit dilaksanakan seperti yang dirancang.
"Saya mahu melihat perancangan (baik pulih dan selenggara) memang dibelanjakan serta mendapatkan maklumat tempoh kerja (penyelenggaraan) itu dilaksanakan.
"Ini menunjukkan kerajaan komited soal kebajikan anggota kerana kita menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka yang menjaga keselamatan serta kedaulatan negara," katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled turut meninjau keadaan persekitaran perumahan dan keadaan bangunan kediaman kerajaan buat warga ATM yang bertugas di Kem Erskine di sini.
Beliau berkata sebanyak 245 unit rumah RKAT di Taman Seruling di sini terlibat dengan kerja penyelenggaraan yang membabitkan peruntukan berjumlah RM596,283.
Pada Belanjawan 2024 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan RM400 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih semua rumah RKAT. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!