Amaran hujan lebat, ribut petir di 10 negeri
SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri sehingga jam 7 malam ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan pada jam 4.05 petang itu berkata, antara negeri yang terlibat adalah Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Johor dan Terengganu membabitkan Besut dan Hulu Terengganu.
Selain itu, kawasan Jerantut dan Marang, Pahang dan Jelebu, Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin, Negeri Sembilan turut mengalami cuaca yang sama.
Bagi Sarawak, amaran cuaca berkenaan turut merangkumi lokasi Sri Aman, Betong (Saratok dan Kabong), Sarikei (Pakan serta Julau), Kapit (Song), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Di Sabah pula melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat (Kota Belud), Sandakan (Kinabatangan) serta Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!