Impian kecil Azira Shafinaz
BUKAN baru wanita cantik ini mengorak langkah dalam lapangan seni, sudah sedekad sebenarnya.
Tidak hanya menyerlah dalam bidang muzik, Azira Shafinaz Ramlan atau dikenali juga sebagai Azira De Fam turut cemerlang dalam cabang lakonan.
Berilah apa juga watak, semuanya berjaya diterjemahkan dengan baik dan keberkesanan itu telah dilihat juri Anugerah Kreatif Akademi Asia (AACA) sehingga melayakkan Azira membawa pulang trofi Pelakon Wanita Komedi Terbaik tahun lalu.
Justeru, apabila sekali lagi tampil cemerlang dalam filem terbaharunya, Sheriff, penulis mengusik, tidakkah empunya diri mengimpikan pengiktirafan di negara sendiri?
Tidak menafikan perkara tersebut, Azira berkata, dia sendiri pernah terfikir mengapa bakatnya tidak disedari oleh mereka yang berada dalam satu negara dengannya.
Namun tidak mahu terus diselubungi energi negatif, bintang berusia 32 tahun itu melihat dari sudut yang lebih positif.
“Semua ini (tawaran, pengiktirafan) berbalik kepada rezeki. Saya lihat ia dari sudut positif, mana tahu kalau ada rezeki dengan cerita ini, saya terima (pengiktirafan).
“Kalau bukan dengan cerita ini, mungkin dengan cerita lain tetapi kalau tak dapat pun saya tak kisah. Saya sudah cukup bangga dengan satu trofi yang diterima selepas 10 tahun bergelar pelakon.
“Dari sudut lain juga, mana tahu dengan kemenangan di peringkat Asia akan membuka pintu dan tawaran untuk saya bekerja dengan produksi luar pada masa akan datang.
“Itu juga adalah salah satu impian saya,“ katanya.
Azira berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala Filem Sheriff di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada masa sama, anak jati Kuala Lumpur itu tidak menafikan sudah diintai sebuah produksi luar, namun kerana jadual yang padat, bintang Ijab Kabut ini sukar memberi kata putus.
“Kalau Azira Shafinaz ada dua, saya mungkin tidak fikir panjang untuk terima tawaran. Cuma disebabkan kekangan masa, saya pun bukan muda lagi, jadi tenaga itu sudah berbeza.
“Saya juga merancang untuk lebih fokus kembali pada drama selepas sibuk dengan penggambaran filem sebelum ini,“ jelasnya.
Walaupun berdepan dengan jadual kerja yang padat, wanita anggun itu berkata, tidak sukar untuk membahagikan tugas sebagai penyanyi dan pelakon.
Malah, situasi itu sudah dilaluinya hampir sedekad selepas penubuhan De Fam pada tahun 2015.
“Bahagi masa tak ada masalah, susun jadual pun tak susah sebab semuanya terpulang pada saya.
“Cuma sebagai pelakon, komitmen saya lebih panjang daripada penyanyi. Jadi, saya kena susun jadual sebaiknya untuk mengelak masalah di kemudian hari,“ tuturnya ringkas.
Kepuasan
Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam filem terbaharu arahan Syafiq Yusof, Sheriff, Azira berkata, dia tidak berfikir panjang sebelum menerima tawaran sebagai Asistan Superintenden Shazlin.
Jelasnya, selain faktor barisan pelakon yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini, jalan cerita yang berbeza menjadi tarikan buatnya.
“Kalau ikutkan, saya tidaklah banyak sangat babak aksi tetapi saya teruja kerana ini filem beruniform pertama saya dan kalau nak tahu, cita-cita semasa kecil dulu adalah untuk menjadi anggota polis.
“Jadi, bila dapat sarung uniform, saya rasa bangga sangat dan banyak belajar mengenai ketegasan, cara jalan, cara pegang senjata menerusi siri atau filem luar negara.
“Macam babak lain yang memerlukan aksi melompat atau berguling pun, saya buat sendiri sebab tidak sukar dan tidak akan serik untuk melakonkan naskhah aksi lagi selepas ini,“ katanya.
Ditanya antara cabaran besar sepanjang penggambaran, Azira berkata, babak melibatkan hujan adalah yang paling sukar dan lama untuk dijayakan.
“Bayangkan ada satu babak saya dalam hujan ambil masa dua hari untuk diselesaikan. Penggambaran itu bermula pada sebelah malam, dan hanya selesai sebelum subuh.
“Selain itu saya perlu gunakan ear buds dalam beberapa babak melibatkan letupan kerana bunyinya terlalu kuat,“ jelasnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!