Ulama Fiqah dunia berkumpul di Riyadh bincang masalah dunia Islam
PARA cendekiawan dan ulama-ulama Fiqah dunia berkumpul di Riyadh, Arab Saudi dalam Persidangan Fiqah Islam kali ke-23 bagi membincangkan permasalahan yang dihadapi masyarakat dan dunia Islam ketika ini.
Acara yang berlangsung dari 20 hingga 22 April itu turut dihadiri Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdulaziz Al-Sheikh.
Persidangan tersebut menjelaskan ketetapan syariat bagi umat Islam dalam pelbagai isu dan menunjukkan kesesuaian perundangan Islam dan warisannya selain menerangkan istilah Islam dalam keadaan semasa.
Memetik portal ArabNews, Sheikh Abdulaziz turut menekankan bahawa syariat Islam dengan prinsip-prinsip amnya, kaedah yang komprehensif, susunan cabang fiqah, fatwa dan penyelidikan pelbagai topik yang memberikan perspektif yang luas kepada para ulama.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman atas usaha mereka dalam berkhidmat menjaga dua masjid suci umat Islam dan pengunjungnya serta atas sokongan yang diberikan kepada ulama.
Sementera itu, Setiausaha Agung Liga Arab, Dr. Mohammed Abdulkarim Al-Issa dalam ucapannya menyebut persidangan tersebut akan mengkaji isu syariah berdasarkan tinjauan penyelidikan akademik yang mendalam yang dijalankan ulama terkemuka.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha berkata persidangan itu berlangsung dalam tempoh kritikal bagi dunia Islam, penuh dengan cabaran intelektual dan politik yang ketara.
Presiden Akademi Fiqah Islam Antarabangsa, Dr. Saleh Abdullah Humaid pula menjelaskan, topik yang dibincangkan oleh jawatankuasa dan majlis akademi itu merangkumi dasar syariah, keluarga, perubatan, ekonomi, kewangan dan intelektual yang semuanya menarik minat negara Islam.
Setiausaha Agungnya, Dr Koutoub Moustapha Sano turut berkata:
“Kita semua dituntut untuk berusaha menyatukan pemerintahan di negara-negara Islam dalam semua urusan kehidupan berdasarkan peruntukan syariah Islam.
“Itulah satu-satunya cara untuk mencapai perpaduan Islam dalam kalangan umat sekarang,” katanya.
Persidangan ini melibatkan beberapa sesi saintifik yang ditumpukan kepada isu dan cabaran perundangan kontemporari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!