Hentikan guna krim malam ZMY Magnetic Aura - KKM
SHAH ALAM - Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai supaya menghentikan penggunaan krim malam keluaran ZMY Magentic Aura kerana mengandungi merkuri.
KKM mengesahkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan yang memaparkan pembatalan notifikasi produk kosmetik berkenaan oleh Pengarah Kanan Farmasi, KKM dan tidak dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
"Penjual dan pengedar produk kosmetik itu perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta kerana ia melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan tersebut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya," katanya pada Isnin.
Tambah KKM, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.
Ujarnya, bagi pengguna yang menggunakan produk tersebut dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.
"Orang awam digalakkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA di www.npra.gov.my atau menerusi aplikasi NPRA Product Status menerusi Google Play store.
Menurut KKM, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
Katanya, selain itu, ia boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau dalam kandungan dan akan menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!