Warga Myanmar ditahan terlibat sindiket palsu slip permohonan kad UNHCR
KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Kelantan menahan dua lelaki warga Myanmar disyaki terlibat sindiket mengeluarkan slip permohonan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) palsu dalam operasi di Kampung Padang Kala, Melor awal pagi semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Kawalan) Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan di rumah suspek menerusi Ops Sapu/Kutip.
"Suspek pertama berusia 26 tahun dikesan menggunakan kad UNHCR yang sah dan tulen. Suspek juga mengaku semua peralatan dirampas adalah miliknya termasuk wang tunai disimpan dalam peti besi.
"Suspek ditahan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55 D Akta Imigresen 1959/63 (Pemalsuan dan pindaan bagi pengendorsan atau dokumen) manakala seorang lagi suspek ditahan di bawah Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ruzaana berkata, semasa pemeriksaan dijalankan telah menemukan satu unit komputer riba, peti besi, mesin pencetak, mesin lamina, dakwat pencetak berbagai warna, tiga unit kamera litar tertutuo, satu unit pemacu data dan wang tunai RM928 milik suspek.
Turut dirampas telefon bimbit jenama Iphone dan Vivo milik suspek mengandungi salinan slip UNHCR dipercayai telah dipalsukan selain slip permohonan kad UNHCR yang digunakan untuk mendapatkan Kad UNHCR secara tidak sah.
"Pendatang berkenaan dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk tindakan lanjut. Pihak imigresen menggesa orang ramai untuk tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang,” katanya. - Bernama
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!