Lebih 20 pelajar perempuan keracunan makanan
KOTA BHARU - Lebih 20 pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di bandar ini disyaki keracunan makanan selepas menyertai satu program kepimpinan di sekolah berkenaan pada Jumaat dan Sabtu.
Kesemua mereka berusia antara 13 hingga 17 tahun dipercayai menikmati makanan bungkus yang disediakan dalam program berkenaan.
Ibu kepada seorang pelajar memberitahu, anaknya mengadu sakit perut pada hari kedua program tersebut selepas menikmati hidangan tengah hari menu ayam yang sudah berbau busuk.
"Pada sebelah malamnya anak saya mengalami cirit-birit dan pagi keesokannya saya membawanya ke klinik. Anak saya turut mengalami demam," katanya.
Ibu berusia 40-an itu memberitahu, keadaan anaknya tidak berkurang sehingga petang Isnin (tadi) kerana sudah mulai muntah-muntah.
"Bimbang dengan keadaannya yang turut mengadu pening kepala, saya terus membawanya ke unit kecemasan (salah sebuah hospital di bandar Kota Bharu)," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini dia belum bertemu guru dan sekumpulan ibu bapa hanya berhubung melalui grup WhasApp.
Seorang lagi ibu pelajar, mengalami detik cemas apabila anaknya mengadu sakit perut dan loya kira-kira jam 6 petang Sabtu.
"Saya pada mulanya mengesyaki anak saya mengalami gastrik. Keadaannya tidak bertambah baik malah mengalami muntah dan sakit perut sehingga jam 1 pagi," katanya.
Keesokannya (Ahad), ibu berusia 30-an itu membawa membawa anaknya ke klinik selepas mengesyaki mengalami keracunan makanan.
"Pada jam 5 petang Ahad beberapa rakan anak saya memaklumkan mengalami keracunan makanan dan ada simptom sama," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan kejadian berkenaan.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!