Jangan panik kes 31 murid dijangkiti influenza

Dr Ismail
Dr Ismail
A
A
A

MELAKA TENGAH - Penduduk Melaka diminta tidak panik terhadap penyakit influenza A memandangkan kes yang dilaporkan di negeri tersebut setakat ini masih tidak berada pada tahap membimbangkan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr.Ismail Ali, berkata, biarpun sudah 31 murid telah dilaporkan dijangkiti wabak itu dan masih dirawat di hospital, namun ia bukanlah dianggap situasi kronik.

"Kita sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya terdapat kes membabitkan penyakit berisiko seperti wabak influenza.

"Ia termasuk pemantauan lebih ketat di sekolah-sekolah terlibat dan apa yang penting masyarakat tidak perlu bimbang atau panik berikutan penularan wabak yang sedang berlaku ini," katanya ketika ditemui selepas Operasi Tahun Baru Cina di sebuah pasaraya di Taman Teknologi Cheng di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong dan Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Amirullah Arshad.

Tegas Dr Ismail, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi memantau kes membabitkan virus berkenaan secara berterusan.

Dalam pada itu menurutnya, semua pihak pula disarankan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mementingkan aspek kebersihan dan menggunakan topeng muka bagi mengelak penularan virus tersebut.

Jelasnya, terdapat peningkatan secara mendadak jumlah orang ramai yang ingin membuat pemeriksaan kesihatan termasuk untuk mendapatkan vaksin tambahan sama ada di klinik mahupun hospital kerajaan kerana kesedaran masyarakat mengenai penyakit tersebut semakin bertambah dan bukannya atas faktor mereka dijangkiti wabak itu.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan vaksin di hospital kerajaan hanya diberikan kepada golongan sasar, kita juga melalui Bahagian Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri ada membuat pemantauan bagi memastikan semua ubat ataupun vaksin yang digunakan oleh klinik mahupun hospital swasta itu berdaftar dan stok yang ada tidak disimpan serta digunakan untuk pelanggan," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Seramai 31 murid termasuk seorang murid pra sekolah serta seorang guru perempuan berusia 33 tahun disahkan dijangkiti virus influenza A di negeri tersebut.

Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Dr.Mohd Azam Ahmad berkata, biarpun jumlah itu meningkat daripada 13 orang pelajar yang dijangkiti virus bermula dari hari pertama persekolahan hingga Jumaat lalu kepada 18 murid, namun ia masih pada tahap terkawal dan minimum berbanding negeri lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!