Fahami hukum agama elak terjebak rasuah
SHAH ALAM - Individu yang diamanahkan dengan jawatan dan kuasa sama ada sebagai anggota pentadbiran kerajaan atau pegawai awam perlu memahami agama dan mengetahui had ketika menjalankan tugas.
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menerusi satu kenyataan berkata, pemimpin sepatutnya memahami risiko apabila memegang jawatan tersebut kerana ia terdedah kepada jenayah rasuah dan pecah amanah.
“Masih ramai dalam kalangan pegawai awam dan swasta terlibat dengan jenayah rasuah walaupun sudah banyak peringatan dan pengajaran diberikan.
"Mereka degil serta keras hati, tidak takut kepada larangan ajaran agama.
“Apatah lagi larangan oleh undang-undang berkuat kuasa, hilang kerja, tergadai maruah diri dan nama keluarga tercemar,” kata kenyataan itu baru-baru ini.
Dari sudut Islam, tambah MCW, rasuah bukan sahaja satu dosa, malah memberi kesan cukup besar dan dahsyat kepada individu terlibat serta melemahkan sistem kekeluargaan, masyarakat, organisasi, pentadbiran negara termasuk kedaulatan negara yang mendaulatkan Islam sebagai sistem pemerintahan.
Menurut kenyataan itu, amalan jenayah rasuah boleh mengakibatkan terkuburnya integriti sekali gus menyebabkan lahirnya seorang pegawai awam, swasta atau peniaga rendah akhlak, tidak amanah dan mudah terdorong melakukan perbuatan keji.
“Implikasinya cukup besar dan amat bahaya kepada rakyat dan negara, apabila seseorang individu yang dilantik sebagai pemimpin atau pemerintah kerana menerima sogokan rasuah dan tidak berlandaskan kelayakan dan kemampuan sebenar.
“Selain itu, ia juga akan menyebabkan pembentukan keperibadian pemalas tetapi hidup bergaya dan mampu mencipta watak individu mementingkan diri, meninggi diri serta angkuh,” tegasnya.
Justeru, MCW mengingatkan semua pihak bahawa jenayah rasuah boleh menyebabkan rezeki dan harta seseorang tidak berkat kerana memperoleh wang secara haram.
Kata kenyataan itu, kehidupan di dunia akan sentiasa dilanda bencana atau musibah dan jiwa tidak tenteram seperti menimbulkan perasaan dengki, dendam, hilang kepercayaan serta menimbulkan kebencian masyarakat walaupun mempunyai harta yang banyak.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!