Kerana sayang sanggup jadi beg tinju suami

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

DI kala umat Islam masih gembira meraikan Hari Raya Aidilfitri, negara dikejutkan dengan kes seorang wanita hampir mati ditembak suami sendiri dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.

Suspek berusia 38 tahun itu melepaskan dua das tembakan dengan menyasarkan isterinya yang sedang menunggu kepulangan jemaah umrah dan insiden itu dikatakan berpunca daripada konflik rumah tangga, malah pasangan itu juga dilaporkan dalam proses penceraian.

Tragedi itu mendapat perhatian ramai terutamanya golongan isteri yang rata-rata ‘seram’ dengan kejadian tersebut lebih-lebih lagi suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506 membabitkan jenayah ugut terhadap isterinya.

Jenayah rumah tangga pada hari ini bukan lagi ‘cerita dalam kain’, malah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat terus mendidik masyarakat untuk melaporkan sebarang kes penderaan mental dan fizikal melalui Talian Kasih 15999.

Dalam kes KLIA baru-baru ini, apa yang lebih mengejutkan adalah suspek terlibat merupakan seorang hufaz al-Quran dan mengusahakan sebuah syarikat pelancongan bagi menunaikan ibadah umrah dan haji bersama isterinya.

Hal itu secara tidak langsung membuka mata pasangan lain untuk tidak mengecualikan status atau latar belakang seseorang daripada terlibat dalam kes-kes jenayah berat termasuk membunuh.

Masalah psikologi, tekanan perasan, gagal mengawal amarah atau dendam boleh dialami orang sesiapa sahaja jika ia tidak dikesan dan ditangani dari awal.

Pada tahun lalu, seramai 5,050 wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga, rogol dan gangguan seksual.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 9,334 kes keganasan dicatatkan pada tahun 2021, manakala 8,580 kes pula pada tahun 2022.

Daripada jumlah itu, kebanyakan kes keganasan terhadap wanita dilakukan orang yang dikenali termasuk suami dan terdapat juga kes tidak dilaporkan kerana masalah dalaman keluarga atau peribadi.

Pada 2019 seorang bekas pekerja kem balak didapati bersalah mengelar isterinya berusia 52 kerana cemburu sebelum Mahkamah Rayuan di Sibu, Sarawak meminda pertuduhan perayu kepada Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan membunuh tanpa niat.

Pada 2021 mayat seorang kerani wanita berusia 38 tahun ditemui ditanam di sebuah ladang kelapa sawit dekat Bandar Penawar, dekat Kota Tinggi, Johor dan suspek merupakan suaminya berusia 43 tahun.

Begitu juga kejadian Disember tahun lalu, seorang lelaki didakwa di Mahkamah Shah Alam atas pertuduhan membunuh isterinya berusia 33 tahun menggunakan dumbel akibat cemburu.

Pelbagai advokasi dilaksanakan bagi melindungi wanita daripada menjadi mangsa keganasan termasuklah tindakan membuat laporan polis seperti dilakukan oleh isteri kepada suspek kejadian tembak di KLIA yang dikenali sebagai Farah Cie.

Wanita itu tampil membuat laporan terhadap suaminya atas jenayah ugutan dan susulan tindakan beraninya itu pihak polis dapat menjalankan siasatan dengan lebih cepat termasuk mengesan motif kejadian.

Justeru, setiap individu bukan sahaja yang telah mendirikan rumah tangga, perlu cakna dengan perubahan sikap dingin pasangan masing-masing dan menggunakan saluran disediakan bagi mengelak menjadi mangsa keganasan.

Sebenarnya banyak kes-kes keganasan rumah tangga telah sampai ke peringkat pendakwaan di mahkamah, namun segelintir mangsa berubah hati menarik balik laporan dibuat meskipun lebam di badan masih berbekas.

Maka golongan wanita perlulah tegas dan bijak dalam membuat keputusan, janganlah kerana perasaan sayang sanggup menjadi beg tinju suami dan mendedahkan diri dengan bahaya.

* Nor Farhana Yaacob ialah wartawan Sinar Harian Melaka

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!