Budak perempuan muntah darah makan coklat tamat tempoh
PUNJAB - Seorang budak perempuan mengalami muntah darah selepas memakan sebungkus coklat yang telah tamat tempoh dibeli oleh saudaranya di sebuah kedai runcit di Patila, India
Bagaimanapun, keadaan kesihatan kanak-kanak berusia setahun dikatakan semakin kritikal selepas dia dimasukkan ke sebuah hospital tempatan di Punjab baru-baru ini.
Semasa kejadian, kanak-kanak itu pergi ke Patiala bersama ibu-bapa untuk mengunjungi rumah saudara-mara mereka di sana.
Semasa di sana, salah seorang saudaranya membeli sebungkus coklat dari sebuah kedai runcit dan memberikan sebagai hadiah kepadanya.
Bagaimanapun, selepas memakan coklat itu, dia tiba-tiba muntah darah dan terus dibawa ke Kolej Perubatan Kristian untuk menerima rawatan lanjut.
Hasil ujian awal mendapati dia memakan coklat yang tercemar atau telah tamat tempoh sehingga menyebabkan keracunan makanan atau muntah darah.
Susulan kejadian itu, anggota dari jabatan kesihatan negeri pergi menyerbu sebuah kedai runcit terbabit dan merampas makan ringan lain yang didapati telah tamat tempoh.
Hasil soal siasat pemilik kedai itu mendapati dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai produk makanan yang tamat tempoh.
Sementara itu, polis berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pemilik kedai itu jika dia didapati bersalah kerana masih menjual makanan tamat tempoh yang dikhuatiri membahayakan pengguna lain.
Sebelum ini, kejadian sama berlaku di Patiala apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas memakan kek yang tercemar semasa menyambut hari lahirnya.
Siasatan mendapati kedai kek itu tidak berdaftar dengan pihak berkuasa dan beroperasi menggunakan nama kedai yang palsu. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!