Inter Milan ungguli Serie A buat kali ke-20
INTER Milan berada dalam kelas tersendiri apabila merangkul kejuaraan Serie A kedua dalam tempoh empat tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2021.
Pengesahan kejuaraan itu diraih selepas menumpaskan AC Milan 2-1 dalam aksi dramatik diwarnai tiga layangan kad merah di San Siro, awal pagi Selasa.
Gol menerusi Francesco Acerbi dan Marcus Thuram memberikan Inter kelebihan 17 mata ke atas pencabar terdekat, Milan sekali gus memastikan kejuaraan ke-20 dengan berbaki lima perlawanan musim ini.
Bagi pengendalinya, Simone Inzaghi, ia merupakan gelaran Serie A pertama dalam karier pengurusannya dan trofi keenam bersama Inter.
"Ia amat sensasi, kami melakukan sesuatu menakjubkan dan kejayaan ini wajar dikongsi dengan seramai mungkin penyokong," ujar Inzaghi.
Perlawanan itu turut menyaksikan tiga kad merah dilayangkan pada masa kecederaan dengan Milan beraksi sembilan orang selepas kehilangan dua pemain, Theo Hernandez serta Davide Calabria dan turut diarah keluar padang ialah pemain Inter, Denzel Dumfries.
"Saya seperti mahu menangis di atas kerja keras secara berpasukan. Kami berhak untuk meraikan kejayaan ini.
"Ia sesuatu yang menggembirakan, tetapi kami perlu meneruskannya kerana kami sudah menang banyak trofi dan mahu menambah banyak lagi," ujar kapten Inter, Lautaro Martinez.
Inter muncul pasukan kedua memenangi kejuaraan liga Itali 20 kali dan akan mempunyai dua bintang di jersi mereka, selepas Juventus yang jauh mendahului dengan 36 mahkota kejuaraan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!