Negeri Sembilan FC pamer kemajuan

Import Negeri Sembilan, Jacque Faye memberi cabaran kepada pemain KL City dalam perlawanan di Cheras itu. Foto Negeri Sembilan FC
Import Negeri Sembilan, Jacque Faye memberi cabaran kepada pemain KL City dalam perlawanan di Cheras itu. Foto Negeri Sembilan FC
A
A
A

"ALHAMDULILLAH, terdapat kemajuan dalam persembahan pemain-pemain Negeri Sembilan FC."

Itu reaksi pengendali Negeri Sembilan FC, Azzmi Ab Aziz selepas skuad Hoben Jang Hoben tewas tipis, 1-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam aksi Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2024, pada Isnin.

"Secara keseluruhannya saya boleh katakan berpuas hati prestasi dan komitmen pasukan setakat ini.

"Team progress agak baik apabila beri respon positif dengan perancangan taktikal saya dalam perlawanan berintensiti tinggi ini.

"Biarpun begitu masih terdapat beberapa aspek penambahbaikan yang perlu di mantapkan serta diperkemaskan terutamanya dari segi pertahanan dan serangan," kata bekas pengendali PDRM FC itu kepada Sukan Sinar.

Gol Kuala Lumpur City dijaringkan Zhafri Yahya (m-23) dan kapten, Paolo Josue (m-36) manakala gol tunggal Negeri Sembilan pula dijaringkan penyerang muda, N Javabilaarivin (m-43).

Skuad Jangs 2024/25 mengekalkan sebahagian pemain musim lalu selain membawa masuk beberapa pemain termasuk bekas pemain The Cops.

Mengulas saingan 2024/25 yang lebih panjang dan padat, Azzmi menyifatkan pendekatan jangka pendek dan panjang pasukan penting bagi memastikan Negeri Sembilan kekal kompetitif memberi cabaran.

Artikel Berkaitan:

"Negeri Sembilan FC musim ini yang diperkuatkan lima pemain import bukan sebuah skuad besar.

"Biarpun begitu sistem penggiliran selain 'naikkan pangkat' pemain skuad Bawah 23 tahun Negeri Sembilan akan dipraktikkan bagi pastikan pasukan berdaya saing," katanya.

Mengenai penggunaan video bantuan pengadil (VAR) dalam perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras itu Azzmi berkata," Penggunaan VAR ada kebaikan dan kelemahan, namun pada saya pemain-pemain perlu fokus sepanjang permainan dengan elak sebarang insiden off ball yang pasti dikesan VAR."

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!