Restoran diarah tutup 14 hari

Sebuah restoran di Bandar Sunway diarahkan tutup selama 14 hari selepas Jabatan Kesihatan MPSJ mendapati premis kotor selain menemui hurungan lipas di premis terbabit.
Sebuah restoran di Bandar Sunway diarahkan tutup selama 14 hari selepas Jabatan Kesihatan MPSJ mendapati premis kotor selain menemui hurungan lipas di premis terbabit.
A
A
A

SUBANG JAYA - Bukan sahaja tempat memasak dan ruang makan pelanggan kotor malah sebuah restoran di Bandar Sunway diarahkan tutup selama 14 hari selepas Jabatan Kesihatan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menemui hurungan lipas di premis terbabit.

Dalam operasi bersepadu dijalankan ke atas 40 premis di PJS 11 hari ini, 13 premis turut dikenakan tindakan kompaun kerana tiada lesen perniagaan dan pemilik dikesan membina struktur tanpa mengikut spesifikasi dibenarkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, operasi dan tindakan penguat kuasaan tersebut dilaksanakan lanjutan projek menaiktaraf dan pengindahan dua lorong belakang di Bandar Sunway.

Menurutnya, ia memfokuskan kawalan penguat kuasaan di bawah jabatan teknikal MPSJ iaitu jabatan bangunan, jabatan kesihatan, jabatan penguatkuasaan dan jabatan pelesenan.

“Hasil pemeriksaan dijalankan di 23 premis makanan dan runcit, enam premis makanan diberikan Gred A, sembilan premis menerima Gred B, dua lagi masing-masing diberikan Gred C dan Gred D manakala empat premis runcit diberi Gred A dan dua lagi diberikan Gred B.

“Tindakan penutupan sebuah premis makanan yang mendapat Gred D dilaksanakan di bawah Seksyen 62, Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPSJ) 2007 selepas didapati tidak bersih dan berkemungkinan mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang ramai,” katanya.

Menurut Azfarizal, enam premis diberikan notis pemberitahuan bangunan berkaitan pemasangan hud dapur yang tidak mengikut spesifikasi manakala tiga lagi premis dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (MPSJ) 2007.

Katanya, empat premis pula dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MPSJ) 2007 kerana tidak mempunyai lesen iklan.

Artikel Berkaitan:

“Diharap dengan pelaksanaan operasi ini, pemilik dan penyewa premis akan lebih peka dan bertanggungjawab bagi memastikan kawasan lorong belakang sentiasa berada di dalam keadaan selesa, bersih dan seterusnya memberikan kesan yang positif dari segi ekonomi dan sosial.

“Ini berikutan hasil pemantauan dijalankan kita dapati ada bahagian longkang di lorong belakang yang kotor dan tersumbat, barangan diletakkan di lorong belakang hingga laluan terhalang dan terdapat tambahan struktur haram,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!