Tindakan wanita simbah OKU dengan air panas kejam, tak berperikemanusiaan - Hakim
BALIK PULAU - Mahkamah menyifatkan perbuatan seorang wanita yang menyimbah air panas terhadap lelaki sindrom down sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Perkara itu antara ditegaskan Hakim Mahkamah Sesyen Balik Pulau, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin terhadap tertuduh, Oo Saw Kee, 39, yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap A Solairaj, 33, dengan menggunakan air panas sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000.
Tegas beliau, apa dilakukan tertuduh amat serius dan mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat yang menggambarkan kebencian terhadap tindakan wanita itu, lebih-lebih lagi tiada sebarang provokasi dibuat lelaki kurang upaya (OKU) terbabit.
"Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi mana-mana terutamanya kepada golongan istimewa.
"Masyarakat majmuk di negara ini tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku lagi," katanya ketika prosiding, di sini pada Selasa.
Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu jualan mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah pada mangsa dengan menggunakan air panas.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu melakukan kesalahan berkenaan pada 19 April lalu di dalam sebuah lif pangsapuri I-Park, kira-kira jam 9.24 pagi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam, Edric Loo.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!