Langkah kerajaan laksana subsidi bersasar, skim baharu gaji penjawat awam berdasarkan prinsip - Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada Taklimat Isu-Isu Semasa bersama Pelatih-pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa dan Komuniti Madani pada Selasa. Foto Bernama.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan pada Taklimat Isu-Isu Semasa bersama Pelatih-pelatih Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Antarabangsa dan Komuniti Madani pada Selasa. Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan melaksanakan subsidi bersasar dan kajian skim baharu gaji penjawat awam adalah berdasarkan prinsip dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, langkah itu juga bagi memastikan kedudukan fiskal yang lebih baik dan mengurangkan bebanan kewangan negara.

"Ada keperluan kita tegaskan bahawa sebarang keputusan kerajaan tidak akan ‘lebih teruk berbanding sebelum ini’contohnya dalam isu subsidi diesel, RM2 bilion liter disonglap tidak tahu ke mana. Diesel sepatutnya dapat digunakan oleh rakyat tapi dijual ke orang asing.

"Kita perlu tepat untuk memberi subsidi... sama macam elektrik, kita semua dapat kecuali golongan T20 dan keadilan itu meletakkan sesuatu pada tempatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab dalam Program Taklimat Isu Semasa "Kedudukan Fiskal dan Langkah Kerajaan Menangani isu Kewangan Negara di ibu negara pada Selasa.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan kini sedang giat meneliti keperluan mengkaji skim baharu gaji penjawat awam kerana ia sepatutnya dibuat 10 tahun lepas.

"Ada keperluan kita teliti perbincangan gaji (penjawat awam) dan ia sepatutnya berlaku 10 tahun yang lalu...banyak keputusan perlu dibuat dan kita serahkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk uruskan...sebab kalau kita tak ubah haluan, masa depan lebih suram,” katanya.

Pada 19 April lepas, Anwar menerusi catatan di Facebook memaklumkan kerajaan akan umumkan cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam pada perhimpunan Hari Pekerja yang akan diadakan kelak. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!